Thursday, 20 September 2012

Kampung Sungai Sembilang, Kota Tinggi, Johor.

Kampung Sungai Sembilang pada asalnya dipanggil Kampung Sungai Nipah disebabkan kawasan yang mula-mula diteroka adalah berdekatan dengan kawasan laut yang terdapat banyak pohon Nipah yang tumbuh melata sehinggalah ke sepanjang sungai-sungai kecil. Sebatang sungai yang terdapat di kampung ini juga bernama Sungai Nipah.


Kampung ini diteroka pada sekitar tahun 1970-an oleh seorang penduduk pekebun getah di kawasan berdekatan bernama Kassim bin Hassan. Keadaan kawasan yang diteroka pada waktu itu dipenuhi dengan hutan-hutan tebal dan belukar. Kedudukannya terpencil dan jauh dari jalanraya. Kemudian kawasan ini mula dijadikan penempatan dan mulai dibahagi-bahagikan kepada beberapa penduduk yang lain. Untuk memasuki kawasan perkampungan ini adalah melalui jalan tanah merah yang direntas dan jalan tanah merah yang dibuat oleh Ladang Estet dan jarak perjalanan dari jalanraya ke kampung adalah hampir 15km. Pada masa itu ladang estet masih banyak ditanam pokok getah, sebahagian lagi ada yang sudah mulai ditanam dengan kelapa sawit dan juga harus melewati sebahagian hutan di sepanjang perjalanan menuju ke kampung. Disebabkan itu, pengangkutan air amat berguna pada masa itu bagi menghubungkan kampung dengan kawasan-kawasan lain dan juga apabila penduduk kampung ingin keluar untuk membeli sesuatu keperluan di bandar Kota Tinggi atau Teluk Sengat.

  
Di awal era penempatan penduduk, jumlah penduduk hanyalah dalam sekitar 10 buah keluarga dengan purata isi rumah seramai 4 orang sahaja dan tidak mempunyai kemudahan-kemudahan seperti bekalan elektrik, air, jalanraya dan lain-lain kemudahan. Siang bermandikan cahaya matahari dan malam bertemankan sinaran lampu minyak tanah dan lampu pam. Sumber air bersih pula samada dengan menadah air hujan atau perigi. Kalau di musim hujan, anak-anak pergi ke sekolah dengan kasut yang putih bersih dan pulang dengan kasut yang berpalit dengan tanah merah. 
  
Pada lewat tahun 1970-an, kampung ini telah disusun dan diluluskan sebagai tanah kurnia dan kemudiannya telah diwartakan sebagai Kampung Sungai Sembilang dengan keluasan tanah 375 ekar. Sehingga ke tahun 1992, Kampung Sungai Sembilang masih lagi menjadi sebuah kampung tradisional yang belum mempunyai apa-apa kemudahan dan terpinggir dari arus pembangunan. Namun begitu dalam sekitar tahun 1995, berkat usaha dan kesabaran penduduk kampung, berserta keprihatinan kerajaan dan badan-badan seperti RISDA dan KEJORA dan beberapa badan Kerajaan lainnya, Kampung Sungai Sembilang mulai dibekalkan dengan keperluan elektrik, dituruti bekalan air paip yang bersih, jalan raya kampung, pembinaan Balairaya, surau, jeti bagi kemudahan para nelayan dan sebagainya.


Kini, penduduk Kampung Sungai Sembilang sudah mencecah hampir 300 orang dan ditempati 65 buah rumah dengan kepelbagaian mata pencarian seperti penoreh getah, pekebun sawit, pekerja estet, pekerja kilang, nelayan, penternak dan peniaga. Penduduk sekarang juga sudah terdedah dengan pelbagai tekonologi canggih dimana semua penduduk sudah mempunyai telefon bimbit juga diberi bantuan Laptop 1 Malaysia bagi menambah ilmu pengetahuan. Jalanraya kampung yang bertar sejauh 6km juga sudah dibina dan memudahkan penduduk kampung keluar ke bandar mahupun penduduk dari bandar masuk ke kampung. Kerajaan juga telah membina sebuah sekolah rendah dan sekolah agama di kampung bersebelahan dan walaupun perjalanan dari kampung Sungai Sembilang menuju ke sekolah tersebut agak jauh, namun tidak mematahkan semangat penduduk untuk menghantar anak-anak ke sekolah demi menghasilkan generasi muda yang cemerlang!

1 comment:

Hai, tinggalkan dulu komen anda disini, terima kasih ya!